RosPin produk inovasi pelajar sekolah pertama dipasarkan
KUANTAN: Sekolah Menengah Vokasional Kuantan (SMVK) di sini melakar sejarah apabila produk inovasi Rostrum Pintar (RosPin) hasil ciptaan pelajarnya berjaya dikomersialkan.
Penciptaan RosPin iaitu rostrum yang dilengkapi mikrofon laras automatik mengikut ketinggian individu yang berdiri di situ, menjadikan SMVK sekolah pertama di negara ini berjaya mengkomersialkan produk hasil ciptaan pelajarnya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata RosPin hasil idea empat pelajar SMVK yang membuat produk inovasi daripada bahan terbuang pada 2008 sebelum menarik minat SIRIM Berhad dan Syarikat Muslim Global Intelek Sdn Bhd (SMGISB) untuk mengkomersial serta memasarkannya.
“Penciptaan RosPin yang memenangi Anugerah Inovasi Negara pada 2008 menjadi produk sulung bagi sekolah vokasional yang akan dipasarkan dan usaha ini satu petanda baik bagi menyuburkan budaya reka cipta dan inovasi di peringkat sekolah.
“Kejayaan ini juga petanda pelajar mula memahami pentingnya elemen kreativiti dan inovasi dalam kehidupan, sekali gus mampu menjadi modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Pengkomersialan RosPin antara SMVK dan SIRIM Berhad dengan SMGISB di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi , Datuk Mohd Fadillah Yusof dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Datuk Ir Yahaya Ahmad.
RosPin yang dilancarkan semalam adalah generasi kedua selepas SIRIM menambah baik idea yang dicipta pelajar SMVK.
Sementara itu, Mohd Fadillah berkata, produk itu akan terus ditambah baik SIRIM dan sehingga kini pada peringkat hampir sempurna sebelum boleh dipasarkan hujung tahun ini.
“Bagaimanapun, harga untuk produk ini diserahkan kepada syarikat berkaitan,” katanya.
Dalam sidang media selepas itu, Wee berkata, kementeriannya sedang merangka satu program pentauliahan bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi membolehkan pelajar terus bekerja selepas tamat persekolahan.
“Ketika ini, kita mempunyai kira-kira 86, 000 pelajar aliran vokasional serta teknik dan bagi memenuhi sasaran kerajaan untuk menggandakan bilangan pelajar kemahiran daripada 10 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, program pentauliahan ini perlu dilaksanakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment